Perasaan Horas! akan jadi bercampur baur walaupun sudah berkali-kali menonton rakaman video ini. Ada rasa simpati, geram, marah meluat dan macam-macam lagi.
Bukan niat Horas! mahu membela lelaki-lelaki yang ditangkap kerana mencuri getah sekerap itu. Yang salah tetap akan salah. Tapi wajarkah mereka diperlakukan begitu?
Kalau geram sangat, bagi saja penampar atau penumbuk 4-5 kali kemudian nasihatkan dengan cara yang baik. Siapa tahu, berkat keikhlasan nasihat yang diberikan mereka akan jadi baik? Kemudian serahkan pada polis. Biar mahkamah yang menentukan nasib mereka.
Ini tidak, disepak terajang sesedap rasa. Kemudian dipaksa pula makan getah sekerap. Itu yang mengundang rasa simpati Horas! kepada mereka.
Dan Horas! jadi meluat melihat gelagat berlebihan lelaki-lelaki yang cuba menunjukkan merekalah yang paling kuat pada orang yang berada dalam ketakutan, malu, tidak berdaya dan tidak akan berani untuk melawan.
Bayangkan kalau perkara yang sama berlaku pada ahli keluarga atau sanak saudara kita sendiri. Walaupun kita tahu dia bersalah, tapi kita pasti akan berasa marah kalau dia diperlakukan sedemikian. Pasti kita akan berkata, mengapa tidak diserahkan saja kepada polis!!!
Pada pandangan rakan-rakan pembaca sekalian, beranikah lelaki-lelaki 'gagah' dalam video diatas memperlakukan perkara yang sama pada bapa-bapa ayam yang menjual tubuh gadis-gadis Melayu?
Beranikah mereka menyepak terajang dan menyuruh tauke mesin judi haram yang banyak merosakkan anak bangsa memakan mesin judi mereka?
Atau beranikah mereka menangkap dan memukul pengedar dadah, lalu menyuapkan dadah yang diedarkan kedalam mulut sipengedar yang banyak menjahanamkan anak-anak muda Melayu?
Horas! yakin tidak kerana mereka hanya berani pada yang lemah dan sudah tidak berdaya.